skip to main |
skip to sidebar
Dikisahkan bahawa setelah Nabi Ibrahim gagal memujuk ayahnya menyembah Allah s.w.t. , Nabi Ibrahim tetap tidak putus asa.
Ia tahu bahawa hidayah adalah di tangan Tuhan dan tidak ada siapa yang dapat mengubah seseorang itu melainkan dengan kehendak Allah s.w.t.
Nabi Ibrahim tidak berhenti-henti bermujahadah memberi penerangan pada kaumnya supaya menyembah Allah s.w.t.. Apabila Nabi Ibrahim memberi mereka alasan dan sebab yang harus mereka mereka menyembah Allah s.w.t. lalu mereka berkata : "Kami hanya menurut agama yang dianuti oleh ibubapa kami dan agama kami itu adalah agama yang dianuti oleh nenek moyang kami secara turun temurun, oleh itu kami tidak akan sekali-kali meninggalkan agama kami(menyembah berhala)."
Apabila Nabi Ibrahim melihat kaumnya itu tidak mahu mendengar nasihatnya, mereka itu semuanya degil dan tetap berpegang teguh pada ajaran datuk nenek mereka.
Maka pada suatu hari kaumnya mengadakan perayaan tahunan yang diadakan di luar kota, semuanya membawa membawa khemah, makanan dan lain-lain untuk menghadiri upacara perayaan tersebut. Mereka menjemput Nabi Ibrahim ikut serta, tapi Nabi Ibrahim menolak dengan memberi alasan bahawa ia sakit. Apabila kaumnya mendengar alasan Nabi Ibrahim maka mereka takut kalau-kalau penyakit yang Nabi Ibrahim ada-adakan itu merebak kepada mereka lalu mereka meninggalkan Nabi Ibrahim di kota tersebut.
Bila Nabi Ibrahim melihat semua kaumnya meninggalkan kota untuk merayakan perayaan mereka, Nabi Ibrahim berkata dalam hatinya: "Inilah masa yang aku tunggu-tunggu, aku akan memberi mereka stau contoh bahawa berhala yang mereka sembah itu adalah semata-mata batu yang tidak berguna."
Nabi Ibrahim menggunakan kesempatan yang ada itu, lalu ia membawa kapak ditangannya dan terus menuju ke tempat pemujaan kaumnya. Apabila sampai di tempat tersebut Nabi Ibrahim melihat di depan patung-patung itu ada makanan yang dihidangkan untuk berhala-berhala tersebut, maka Nabi Ibrahim mendekati patung-patung itu dan berkata: "Kenapa kamu tidak makan makanan yang dihidangkan kepada kamu? Bodoh betul kamu!". Nabi Ibrahim menampar dan menendang berhala-berhala itu. Dan seterusnya Nabi Ibrahim mengangkat kapaknya lalu mengapak semua berhala-berhala yang kecil, kemudian Nabi Ibrahim menggalungkan kapak tersebut pada berhala yang besar.
Setelah perayaan kaumnya itu habis maka kembalilah kaumnya ke kota dan alangkah terkejutnya mereka apabila melihat habis semua berhala-berhala yang mereka sembah itu hancur dan yang tinggal cuma berhala yang terbesar diantara berhala-berhala itu. Berkata mereka: "Siapakah yang punya angkara ini hingga habis patung-patung pujaan kita hancur?". Berkata salah seorang dari mereka: "Kemungkinan orang yang melakukannya adalah orang yang selalu memperolok-olokkan agama kita dan tidak lain tidak bukan sudah tentu kerja orang yang bernama Ibrahim, sebab hanya dia seorang yang tinggal di kota ini sewaktu kita merayakan perayaan!".
Setelah penyelidikan terperinci dibuat akhirnya keputusan dibuat bahawa orang yang melakukan perbuatan tersebut adalah Nabi Ibrahim, maka perbicaraan pun telah dibuat di hadapan orang ramai dan mereka sangat marah terhadap perbuatan Nabi Ibrahim sehingga ada yang berkata: "Kamu telah melakukan satu penghinaan terhadap agama kami dan kamu tidak patut diampuni dan sebalinya kamu harus dijatuhkan hukuman yang setimpal dengannya".
Sememangnya Nabi Ibrahim memang menanti-nanti supaya perbicaraan dibuat secara terbuka dan disamping itu dapatlah Nabi Ibrahim menunjukkan kepada mereka bahawa perbuatan menyembah berhala adalah satu perbuatan yang paling bodoh dan tidak berguna.
Apabila Nabi Ibrahim mengadap para hakim maka orang ramai yang menyaksikan perbicaraan tersebut mengutuk dan berteriak sebab marahnya mereka terhadap perbuatan Nabi Ibrahim itu. Setelah keadaan reda maka hakim pun memulakan pertanyaan: "Adakah kamu yang merosakkan patung-patung berhala kami?".
Nabi Ibrahim pun menjawab: "Kamu nampak tak patung besar itu, dilehernya ada kapak tergantung, cuba kamu tanya dia!". Apabila para hakim mendengar jawapan dari Nabi Ibrahim itu maka kesemua mereka diam sebentar sambil berbisik antara satu sama lain dan sedarlah mereka bahawa jawapan Nabi Ibrahim itu menyindir mereka lalu berkata sang hakim: "Wahai Ibrahim! tidakkah kamu tahu bahawa patung-patung itu tidak boleh bercakap!".
Apabila Nabi Ibrahim mendengar jawapan dari sang hakim itu, maka berkatalah Nabi Ibrahim dalam hatinya: "Akan aku tunjukkan kepada mereka semua satu contoh untuk menyedarkan mereka." Lalu Nabi Ibrahim pun berkata: "Buat apa kamu sembah patung-patung yang tidak boleh menolong kamu, kalau patung yang kamu sembah itu benar-berar berguna suruhlah dia berkata, macam mana kapak itu boleh berada di lehernya? Dan mengapakah kamu semua tidak terfikir dengan menggunakan akal, kamu semua memuja patung, tapi patung itu hanyalah benda yang kamu buat dan yang diilhami oleh syaitan!".
Berkata Nabi Ibrahim lagi: "Mengapakah kamu semua tidak semua mahu menyembah pada Allah s.w.t. yang mana DIA yang menciptakan kamu semua dan yang menjadikan alam ini. Alangkahnya jijiknya kamu keran menyembah berhala yang kamu buat sendiri. Memang kamu semua adalah yang paling bodoh!".
Setelah para hakim mendengar kata-kata yang dikeluarkan oleh Nabi Ibrahim maka para hakim pun memutuskan bahawa Nabi Ibrahim bersalah dan akhirnya Nabi Ibrahim dijatuhkan hukuman bakar hidup-hidup.
Setelah keputusan dibuat bahawa Nabi Ibrahim harus dijatuhkan hukum dibakar hidup-hidup oleh penyembah-penyembah berhala, maka persiapan untuk menyalakan api pun dimulakan. Ramailah orang datang menyumbangkan kayu dan bahan-bahan bakar untuk menghidupkan api yang paling ganas. Mereka memikul kayu-kayu setakat yang mampu untuk membakar Nabi Ibrahim kerana telah memusnahkan berhala-berhala mereka.
Di antara mereka terdapat juga wanita-wanita hamil yang mengambil bahagian, kononnya tuhan-tuhan berhala mereka akan memudahkan mereka bersalin dan menyembuhkan penyakit yang mereka hadapi. Setelah semua bahan-bahan bakar dikumpul di suatu tempat lapang, maka kelihatanlah tempat pembakaran itu seperti sebuah bukit yang tinggi. Apabila api mula dihidupkan maka kelihatanlah api itu sangat ganas dan burung-burung berterbangan di udara akan jatuh ke dalam api tersebut disebabkan tingginya api itu menjulang.
Kemudian Nabi Ibrahim pun dibawa orang dengan tangannya diikat ke tempat yang tinggi dekat dengan api yang sedang marak menyala itu, lalu Allah s.w.t. berfirman kepada api : "Wahai api, hendaklah engkau menjadi sejuk dan selamat terhadap Ibrahim" (surah al-Anbiya ayat 69). Apabila tiba saat yang ditunggu pun sampai maka Nabi Ibrahim pun dicampak ke dalam api yang sangat ganas , tetapi Allah s.w.t. telah perintahkan api supaya tidak mengapa-apakan Nabi Ibrahim. Nabi Ibrahim tetap bertawakal kepada Allah s.w.t. kerana ia tahu Allah s.w.t. tidak akan membiarkan api memakannya disebabkan keganasan orang-orang kafir.
Apabila Nabi ibrahim berada dalam kelompok api yang ganas, ia berasa sejuk dan api yang ganas itu hanya membakar tali dan rantai yang diikat pada Nabi Ibrahim saja. Apa saja yang Nabi Ibrahim pakai dan begitu juga dengan anggotanya tidak sedikit pun disentuh oleh api tersebut. Hal ini merupakan satu mukjizat yang Allah s.w.t. berikan kepada Nabi Ibrahim.
Orang ramai yang menyaksikan upacara pembakaran tersebut merasa terkejut melihat Nabi Ibrahim keluar dari kelompok api yang sudah padam dan yang tinggal hanyalah abunya saja.
Orang-orang yang menyaksikan peristiwa tersebut bertanya-tanya sesama sendiri tentang perkara ajaib yang mereka lihat dan mulailah timbul kesedaran tentang kebenaran agama yang dibawa oleh Nabi Ibrahim.
0 comments:
Post a Comment